Halaman

24 October 2011

Kelab Peteh sedia 10 bas untuk penyokong

Oleh: Suriati Ali

Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (Peteh) akan menyediakan 10 buah bas untuk membawa rombongan penyokong ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu ini.

Bagaimanapun, menurut Setiausahanya, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, pihaknya belum memutuskan bayaran yang akan dikenakan berikutan ada ura-ura harga tiket akan dinaikkan dalam perlawanan penting itu.

“Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka akan bermesyuarat hari ini berhubung harga tiket dan kita akan memaklumkan jumlah bayaran yang akan dikenakan selepas ini (selepas mesyuarat).

“Bagaimanapun, seperti biasa, kita mula membuka kaunter pendaftaran kepada ahli baru mulai hari ini di pejabat Peteh yang terletak di tingkat bawah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan tempat adalah terhad,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya harga tambang yang dikenakan kepada ahli termasuk tiket adalah RM110, manakala bukan ahli RM125.