Halaman

05 October 2011

Kekalahan Sabah kepada T-Team dalam Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran

Oleh FAUZI MOHD

Walaupun Sabah pernah kalah kepada T-Team dalam Liga Super, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam suku akhir Piala Malaysia 10 Oktober ini.

Jurulatih T-Team, Yunus Alif malah berkata Sabah mungkin menjadi ancaman utama kepada pasukan itu dalam pertandingan berprestij itu nanti.

"Pertandingan Liga Super tidak boleh dijadikan ukuran dan perbandingan kerana semua pasukan mahu merebut Piala Malaysia, piala terakhir dan teragung dalam Liga Malaysia," katanya semalam.

Yunus berkata dalam menghadapi perlawanan nanti beliau telah mengarahkan pemain T-Team lebih bersunggu-sungguh kerana semua perkara boleh terjadi dalam perlawan itu nanti.

Beliau berkata tidak mustahil Sabah boleh menundukkan T-Team walaupun pasukan itu mempunyai barisan pemain ternama dan berpengalaman.

Yunus berkata untuk mengekalkan momentum, T-Team perlu menyerang habis-habisan selain memantapkan barisan pertahanan bagi memastikan pasukan itu mencapai kejayaan.

Terengganu akan berkunjung ke Sabah untuk perlawanan pusingan pertama sebelum berdepan pasukan itu di pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 14 Oktober ini.

Yunus berkata di Sabah nanti, T-Team perlu sekurang-kurangnya seri untuk dijadikan bekalan bertemu di pusingan kedua di sini.

Dalam pada itu, beliau berharap pemain T-Team tidak mengalami sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan peluang pasukan melangkah ke pusingan separuh akhir.

Beliau berkata ketika ini tiga pemain tonggak T-Team mengalami kecederaan iaitu Haris Safwan Mohd Kamal, Indera Putra Mahayuddin dan Mohd Fitri Omar yang diharapkan akan pulih sebelum perlawanan bermula.