Halaman

12 October 2011

Diskusi bajet di Wisma Darul Iman



Oleh; Esah Abdullah

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan mengadakan program Diskusi Bajet 2012 bertempat di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman esok.

Program berkenaan diadakan untuk memberi penjelasan menyeluruh kepada orang ramai mengenai pembentangan bajet yang telah diumum Perdana Menteri Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman bertindak selaku perantara majlis diskusi berkenaan berkata, lebih 200 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli-ahli politik dan pemimpin masyarakat dijangka hadir.

Tiga ahli panel dijemput iaitu Pensyarah Jabatan Matematik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mustafa Mamat; Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar, Ustaz Kamalruddin Omar dan Penasihat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT), Datuk Wan Albakri Wan Md. Nor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat akan merasmikan majlis berkenaan dan orang ramai yang berminat dijemput hadir pada majlis yang bermula jam 9 pagi serta berakhir 1 tengahari.