Halaman

11 October 2011

APC pendorong penjawat awam

Oleh; Esah Abdullah

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diingat supaya tidak berpuas hati dengan anugerah yang diterima sebaliknya anggaplah ia sebagai dorongan untuk bekerja dengan lebih baik dan cemerlang.



Pemangku Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Encik Zakaria Yusof berkata, seorang pekerja yang bagus adalah mereka yang sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik dan boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan orang sekeliling.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu ada sikap integriti yang tinggi di samping menjaga imej kerajaan di mata orang ramai,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) YT di Primula Beach Resort semalam.

Encik Zakaria berkata, berpeganglah kepada prinsip bahawa tangungjawab lebih utama dari penghargaan dan keikhlasan ketika mengalas amanah kerajaan menjadi kayu ukur kejayaan sebenar seorang penjawat awam.

Katanya, kehendak stakeholder hendaklah diberi keutamaan dan sentiasa berada dibarisan hadapan melebihi urusan pribadi dan ikrar yang dibuat ketika menerima jawatan menjadi asas dalam memberi khidmat kepada pelanggan.

“Jangan ada kebocoran ketika berurusan dengan pelanggan dan sentiasa mengamalkan kerahsiaan yang tinggi demi menjaga imej jabatan,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah sekali gus menyampaikan hadiah kepada penerima APC, penerima insentif lama berkhidmat dan kakitangan YT yang bersara wajib turut diraikan.