Halaman

14 October 2011

320 peserta sertai Kem Sukan Milo anjuran KRT Bandar Jertih

oleh: Mohammad Ishak

SERAMAI 320 peserta akan menyertai Kem Sukan “Play More Learn More” peringkat negeri Terengganu yang akan berlangsung sehari di Padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih, Besut, esok.

Kem anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih dan Nestle Product Sdn Bhd membabitkan tiga acara sukan iaitu bola sepak, bola jaring dan bola keranjang.

Setiausaha KRT Bandar Jertih, Abd Aziz Hassan berkata, kem berkenaan julung kali diadakan di negeri ini akan menampilkan peserta bawah 12 tahun membabitkan 16 sekolah rendah seluruh daerah Besut.

Katanya, pertandingan itu dibahagikan kepada empat kumpulan itu Kumpulan A Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Amer, Bukit Tempurung dan SK Pusat Jertih.

Manakala Kumpulan B ialah SK Jertih A, Alor Peroi, Kampung Baru dan Tok Motong. Bagi Kumpulan C , SK Kuala Besut 2, Seberang Jertih, Pelagat dan Alur Keladi. Kumpulan D ialah SK Bukit Kenak, Padang Landak, Lubuk Kawah dan Nyior Tujuh.

Menurutnya, sempena program itu juga pihak penganjur akan mengadakan klinik asas bola sepak, bola jaring dan bola keranjang yang akan diadakan selama 30 mint sebelum karnival sukan berkenaan berlangsung yang akan dikendalikan oleh 15 jurulatih bertauliah.

Abd Aziz berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada peserta peringkat akar umbi mempamerkan bakat dalam sukan berkenaan selepas mereka menerima latihan asas dari jurulatih terbabit.

Katanya, KRT Bandar Jertih beruntung kerana pihak Dina Sport memilihnya sebagai penganjur bersama kem berkenaan dan akan membuktikan keupayaan menganjur sukan terbabit.

“Kami juga akan menampilkan peserta pelbagai kaumakan yang mencerminkan semangat perpaduan sesuai dengan konsep 1Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu dijangka menarik perhatian penduduk setempat kerana berkemungkinan perlawanan akan berlangsung dalam suasana hujan berikutan keadaan cuaca tidak menentu di negeri ini sekarang.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh (gambar) yang juga selaku Pengarah Rukun Tetangga Daerah Besut, akan melakukan upacara penutup dan menyampaikan hadiah kepada pasukan yang berjaya.