Halaman

30 October 2011

300 anggota TUDM sedia dikerah bantu mangsa banjir

Oleh: Mohammad Ishak


Acara tarik tali penutup Hari Keluarga TUDM Gong Kedak, semalam


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Gong Kedak, dekat Jertih, menyertai agensi dan jabatan lain bagi meembantu mangsa banjir jika bencana itu berlaku di negeri ini.

Komandernya,Brigedier Jeneral Mohd Faudzi Ahmad, berkata pihaknya sudah bersiap sedia untuk mengerahkan anggota terbabit berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Katanya, seramai 300 anggota dan pegawai pasukan keselamatan yang dilatih khas oleh TUDM akan ditugaskan untuk menyertai agensi penyelamat lain jika berlaku bencana banjir.

Selain itu, katanya, TUDM juga turut menyediakan pelbagai peralatan logistik termasuk bot, trak dan jaket keselamatan untuk tugasan menyelamat.

Beliau berkata, bagi kemudahan pemindahan pasukan itu juga menyediakan dewan khas untuk penempatan mangsa banjir.

“Anggota kami sudah bersedia dan akan bertindak segera sebaik menerima arahan dari Jawatankuasa Bencana Banjir peringkat daerah dan negeri,” katanya selepas majlis Hari Keluarga TUDM semalam.

Bagi tujuan itu, pihak berkuasa menyediakan 347 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan 51,700 mangsa, berbanding 48, 192 orang pada tahun lalu.

Sebanyak 98 pusat perpindahan disediakan di daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut merasmikan program berkenaan.