Halaman

13 October 2011

101 menara komunikasi di Terengganu menjelang tahun depan

Oleh; Esah Abdullah


Pengarah SKMM Wilayah Timur, Encik Mohd Shafie Harun

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mensasarkan 97 peratus kawasan liputan telefon selular di Terengganu menjelang akhir 2012.

Pengarah SKMM Wilayah Timur, Encik Mohd Shafie Harun berkata, pihaknya memberi tumpuan di pulau-pulau termasuk Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian yang menjadi tumpuan pelancong di samping kawasan pedalaman yang mempunyai ramai penduduk.

Katanya, semua pulau berkenaan sudah mempunyai menara komunikasi dan pihak SKMM merancang membina 24 menara lagi di Hulu Terengganu yang dijangka siap sebelum akhir tahun depan.

“Sehingga ini 77 menara komunikasi sudah siap dibina meliputi semua daerah seluruh negeri di mana setiap menara menelan belanja kira-kira RM1.5 juta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Hak Pengguna Dalam Perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia di Riyaz Heritage, Pulau Duyong, Kuala Terengganu hari ini.

“Kita yakin bila siapnya pembinaan menara di Hulu Terengganu, sasaran 97 peratus kawasan liputan di negeri ini akan tercapai,” katanya.

Hadir sama, Pengarah jabatan Pematuhan SKMM, Puan Sharizan Abd Aziz dan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Puan Mahfuzah Azhari.

Katanya, Terengganu merupakan negeri tertinggi mempunyai capaian internet iaitu 57 peratus berbanding Pahang (48 peratus) dan Kelantan (46 peratus).

Tambahnya peningkatan kesedaran pengguna terhadap penggunaan jalur lebar di negeri ini begitu memberangsangkan dan melalui seminar yang diadakan ini memberi tambah nilai kepada penggunaan jalur lebar dengan baik dan menyeluruh.

“Untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kita akan mewujudkan 158 kampung tanpa wayar di seluruh negeri untuk memberi kemudahan penduduk yang tinggal di pedalaman mendapat liputan yang jelas tanpa gangguan,” katanya.