Halaman

23 October 2011

10 pasangan pengantin selamat diijab kabul

Oleh FAUZI MOHD


Sepuluh pasangan yang terpilih dalam program My Idol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan yang julung kali diadakan di negeri ini, selamat diijab kabul dalam satu majlis lafaz akad nikah di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.

Akad nikah oleh Juru Nikah negeri yang juga bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato' Ismail Ali, berlangsung kira-kira jam 4.30 petang, sebaik selesai solat Asar.

Bagi memeriahkan majlis, 300 ahli keluarga pihak pengantin lelaki dan perempuan hadir pada majlis anjuran Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.



Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.

Pasangan bertuah itu diberi wang tunai RM5,000 dan 1,000 keping kad jemputan selain segala perbelanjaan perkahwinan mereka ditanggung pihak penganjur.

Kemuncak program itu, semua pasangan itu akan disandingkan secara beramai-ramai dalam majlis Perkahwinan Perdana di Dataran Shahbandar, kira-kira jam 9 malam tadi.

Pasangan pengantin baru itu adalah Asrul Hafizal Abdul Halim, 28, dan Norfahani Mustafar, 21; Ahmad Ghazali Mohd Noor, 25, dan Siti Noor Hafizah Seman, 25; Dzulkarnain Othman, 28, dan Syamsiah Hussin, 26; Mohd Jailani Mohamad, 27, dan Nor Fadilah Awang, 21; Mohd Fitri Aziz Mohd Alias, 23, dan Wan Nur Liyana Wan A Razak, 23.

Pasangan lain adalah Mohamed Fadly Musa, 27, dan Syaidatul Akmal Ghazali, 21; Mohd Syaharidan Jaafardudin, 24, dan Wan Norfaizatul Ashikin Wan Mohd, 20; Ahmad Hanif Jaafar, 21; Shahrul Anuar Abdullah, 27, dan Syazrina Baharomm, 24, dan Mohd Safwan Mohamed, 25, dengan pasangannya Siti Nur Adnin Salim, 24 tahun.

Mengulas program itu, Dato' Wan Ahmad Farid berkata ia hasil kerjasama Pejabat Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT); Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT); Pejabat Pelancongan Malaysia Terengganu; Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu.

Antara syarat peserta yang ingin menyertai program itu dikehendaki menulis karangan tidak kurang 300 perkataan bertajuk 'Kenapa Saya Layak Dipilih', perlu melepasi beberapa sesi temu duga dan setiap pasangan mesti berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, berumur 21 tahun ke atas, belum berkahwin dan bermastautin dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.