Halaman

18 September 2011

Usah abai ibu bapa - MB



Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan masyarakat negeri ini supaya tidak mengabaikan tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa masing-masing apabila mereka berjaya memegang jawatan dan kedudukan yang baik dalam kerajaan.

Beliau berkata, tugas menjaga kedua ibu bapa bukannya tanggung jawab kerajaan, tetapi ia adalah tugas anak-anak apabila mereka sudah berjaya dalam hidup.

“Seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu dengan baik,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat (Serikandi) Terengganu bersama Jabatan kebajikan Masyarakat dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Pengarah JKM Encik Zuhaimi Omar.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, masyarakat perlu kembali ke pangkal jalan dan jangan sekali mengabaikan tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa.

Beliau bangkitkan perkara ini kerana pernah berlaku, seorang yang berkelulusan ijazah merungut dan marah kenapa nama ibu bapa mereka dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan JKM.

“Memang ketika anak-anak mereka masih kecil kita bantu kerana mereka keluarga miskin tetapi bila anak mereka sudah keluar universiti dan bekerja tentunya mampu menyara kedua ibu bapa, kerajaan hanya bantu keluarga yang susah,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya turut menyampaikan sumbangan cek RM1,000 kepada setiap PDK seluruh negeri serta mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak OKU.