Halaman

06 September 2011

UNiSZA sedia bersaing di peringkat global

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) Terengganu mempunyai kekuatan sumber manusia seramai 1,413 orang dengan 557 orang staf akademik dan 856 staf bukan akademik sehingga Ogos tahun ini, berbanding 187 staf akademik dan 292 staf bukan akademik pada 2006.

“Perkembangan ini memberi isyarat jelas UNiSZA sekarang sudah bersedia untuk menjadi sebuah universiti yang berdaya saing di peringkat global dan juga tempatan,” kata Naib Cancelornya, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud.

Menurutnya, pertambahan sumber tenaga manusia melebihi 194 peratus daripada awal penubuhannya telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan di mana daripada jumlah berkenaan 70 peratus yang berkhidmat adalah anak jati negeri ini.

Sehubungan itu, pihak universiti juga tidak mengabaikan tanggungjawab membantu masyarakat kurang bernasib baik dan baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rumah Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu dalam usaha membantu Golongan Kurang Upaya (OKU).

“Kita akan menyediakan latihan kepada mereka yang berdaya maju dalam bidang nursery/tanaman/landskap sehingga mereka mampu menjana pendapatan sendiri dan hidup berdikari,” katanya di majlis Minggu Mesra Siswa semalam.

Dato’ Prof Dr. Alias juga memaklumkan, pihaknya telah membelanjakan RM200 juta daripada peruntukan RM417 juta untuk melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal dalam usaha meningkatkan kemudahan universiti berkenaan.

Manakala projek yang telah siap termasuklah pembelian tanah dan pembinaan bangunan Jabatan Pembangunan dan Penyelengaraan di Kampus Besut, blok akademik dan bangunan Pusat Teknologi Maklumat di Kampus Gong Badak serta Makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Kampus Kota, Kuala Terengganu.

Projek belum siap adalah bangunan perpustakaan, bangunan asrama (Disember) dan Fakulti Informatik dan Fakulti Pertanian & Bioteknologi dijangka siap pada akhir 2012.

“Biarpun masih belum mempunyai kemudaan asas yang benar-benar mencukupi berbanding universiti lain namun ia bukan halangan untuk melahirkan graduan yang berkeupayaan dan berprestasi tinggi,” katanya.