Halaman

28 September 2011

Ukom kumpul bekas angota polis zaman darurat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) mengambil inisiatif mengumpulkan kira-kira 20 orang bekas anggota polis yang bertugas di zaman darurat, bagi membolehkan mereka menceritakan sendiri pengalaman pahit kepada pihak media massa.

Lebih 20 anggota media massa dijangka hadir pada Program Bicara Media yang dijadualkan di Permai Inn, jam 3 petang ini, bagi mendengar sendiri cerita daripada bekas anggota polis berkenaan.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata program Bicara Media kali ini agak berlainan daripada sebelum ini di mana pihaknya menjemput bekas anggota polis zaman darurat sebagai tetamu.

“Kita mahu mereka menceritakan sendiri pengalaman yang dilalui pada zaman berkenaan kepada pihak media untuk tatapan masyarakat umum.

“Kita tidak mahu pihak lain mengambl kesempatan menghina bekas perajurit dan polis yang telah berkhidmat dengan jiwa dan raga menentang musuh negara, sebaliknya pengganas komunis yang diagung-agungkan kerana tujuan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, Ukom mahu bekas anggota polis ini dihargai jasa mereka dan dikenang pengorbanan mereka bukan dihina seperti yang dilakukan pemimpin Pas.

Dalam program sebelum ini Program Bicara Media menampilkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) sebagai tetamu bagi memberi peluang kepada mereka memberi penerangan kepada pihak media mengenai portfolio masing-masing.