Halaman

11 September 2011

Tujuh peserta wakili Terengganu

Oleh: Suriati Ali



Komitmen tinggi dan kesungguhan tujuh peserta menzahirkan erti merdeka dalam Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 Terengganu membolehkan mereka terpilih untuk mewakili negeri pada peringkat kebangsaan.



Panel penilai mencalonkan Kampung Gong Guchil, Jerteh bagi kategori Kampung Tradisi dan Anjung Bestari); Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu (Sekolah), Kolej Islam Sains dan Teknologi, Hulu Terengganu (Bangunan Swasta); Pejabat Majlis Perbandaran Dungun (Bangunan Kerajaan) dan Perumahan Bukit Sawa, Marang (Taman Perumahan).



Manakala Mohd Ridzuan Mohamad pula berjaya melayakkan diri bagi kategori Individu Kediaman.

Pengerusi Panel Penilai Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 Terengganu, Encik Mohd Iskandar Jaafar, berkata 19 penyertaan daripada semua kategori diterima pihak penganjur dan setelah dinilai hanya tujuh yang layak untuk dinilai pada Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54.



Katanya, penilaian dibuat berdasarkan kepada nilai patriotik, jumlah Jalur Gemilang, kreativiti dan kemampuan menterjemahkan semangat kemerdekaan melalui daya kreativiti serta kreatif.

Panel penilai terdiri daripada wakil Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu dan Ketua Biro Utusan Malaysia, Kuala Terengganu mengenal pasti tujuh kategori itu.


Penilaian peringkat kebangsaan akan dilakukan oleh wakil dari Ibu pejabat Jabatan Penerangan Malaysia pada 13 dan 14 September depan.

Pemenang yang berjaya pada peringkat kebangsaan akan menerima hadiah wang tunai antara RM2,000 dan RM10,000.