Halaman

30 September 2011

Tuanku Nur Zahirah rasmi kapal RV Discovery

Oleh: Suriati Ali

Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini.



Yang di-Pertuan Agong ,Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berkenan mengiringi baginda bagi menyempurnakan majlis tersebut.



Keberangkatan tiba Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah disambut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Tengku Putera Awang; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, YB Haji Khazan Che Mat dan Naib Canselor UMT Dato' Prof Dr. Aziz Deraman.

Pada majlis perasmian itu, Tuanku Nur Zahirah menekan papan plak sebagai gimik perasmian kapal RVDiscovery.

Kapal bernilai lebih RM15 juta khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dengan keupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika dan boleh berada selama dua minggu di lautan.

Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa.