Halaman

20 September 2011

TPM ucap takziah kepada keluarga Dato' Awang Jabar

Oleh FAUZI MOHD

Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengucapkan takziah kepada anggota keluarga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Awang Jabar, 66, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pagi tadi.



Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka kerja sehari di negeri itu meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarah keluarga Allahyarham di kediamannya di Jalan Terkukur, Kuala Terengganu.

Muhyiddin ketika ditemui pemberita menyifatkan kematian Allahyarham satu kehilangan besar kepada negara.

"Saya ucap takziah kepada keluarga arwah, semoga mereka semua tabah. Arwah adalah sahabat baik saya dan juga sahabat lama saya. Satu kehilangan sebab arwah dah bagi banyak sumbangan masa jadi Setiausaha Parlimen.

"Arwah masih lagi berkhidmat sehingga akhir usia beliau. Ini satu kehilangan besar kepada negara. Saya doakan semoga keluarganya tabah dan rohnya di tempatkan bersama orang beriman," katanya.



Turut menziarahi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al Muktafi Billah Shah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.

Penasihat Khas kepada Menteri Besar dan Pengerusi Biro Pemantau Umno Terengganu itu meninggal dunia apabila kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 26 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Alor Tumang, Marang.

Dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu, kereta Mercedez-Benz yang dipandu pemandu Allaryarham bertembung dengan sebuah Perodua Alza yang dikatakan terbabas ketika mengambil selekoh di jalan berkenaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt. Alias Hashim berkata, kemalangan itu turut mengorbankan seorang wanita warga Yaman, Nesma Nabil Abdul Karim Al-Saiban, 25, manakala lima yang lain cedera.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan teruk di bahagian dalam badan manakala pemandunya cedera ringan," katanya.

Allahyarham Dato’ Awang merupakan bekas anggota Parlimen Dungun selama empat penggal sejak tahun 1978 hingga 1990 dan menjadi wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi pada 1995 hingga 1999.