Halaman

11 September 2011

Terengganu sedia 347 pusat perpindahan untuk 51,700 mangsa banjir.

Oleh FAUZI MOHD, ESAH ABDULLAH dan SURIATI ALI

Terengganu kini melakukan persediaan awal bagi menghadapi musim banjir dengan melaksanakan kempen kesedaran di peringkat komuniti.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu, Mohd. Tarmizi Dan berkata, Program Bersama Komuniti pada Julai lalu mampu memberi kesedaran berhubung tindakan yang perlu diambil sebelum dan selepas banjir.

"Melalui program ini, orang awam di negeri ini akan tahu peranan masing-masing ketika berlaku bencana alam itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terjamin.

"Ini sangat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kematian dan penularan penyakit berjangkit," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya MKN Terengganu di sini hari ini.

Sebelum ini, pihaknya telah mengadakan program kesedaran komuniti peringkat negeri di daerah Hulu Terengganu dengan melibatkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat peringkat kampung dan orang awam.

Dalam pada itu, Mohd. Tarmizi berkata, sebanyak 112 pangkalan hadapan di seluruh Terengganu sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika bencana alam itu berlaku.

''Sebanyak 347 pusat pemindahan yang mampu menempatkan 51,700 mangsa banjir akan dibuka sebagai persediaan. Kapasiti tempat perpindah mangsa banjir ini ditambah berbanding 48, 192 pada tahun lepas," katanya.

Jelasnya, sebanyak 98 pusat perpindahan akan disediakan di Daerah Besut, Setiu (35), Hulu Terengganu (78), Kuala Terengganu (25), Marang (23), Dungun (52) dan Kemaman (36).

Daripada jumlah itu katanya, seramai 11,082 mangsa banjir mampu ditempatkan di Besut, Setiu (2,738), Hulu Terengganu (8,640), Kuala Terengganu (7,300), Marang (4,100), Dungun (9,615) dan Kemaman (8,270).

''Semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah juga telah bersiap sedia mengikut peringkat masing-masing.

"MKN juga telah bersiap sedia dengan pelbagai barang keperluan mangsa banjir seperti bekalan makanan dan minuman, selimut serta lampin bayi di Depot Simpanan Keperluan Bencana di Pulau Kerengga, Marang," ujarnya.

Tambah Mohd. Tarmizi, orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang, etindakan.terengganu.gov.my bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini berkaitan situasi bencana alam itu di Terengganu.