Halaman

26 September 2011

TDM sumbang RM87,000 wujud kelas maya

Oleh FAUZI MOHD

Dalam usaha membantu mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan sistem pelajaran yang lebih bersepadu di sekolah, TDM Plantation Sdn. Bhd. baru-baru ini menyumbang RM87,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu di Kemaman untuk mewujudkan tiga kelas maya di sekolah tersebut.

Ia merupakan sumbangan yang keempat oleh syarikat terbabit yang merupakan anak syarikat milik TDM Berhad, kepada sekolah-sekolah rendah di Terengganu menerusi usaha tanggungjawab sosial korporatnya.

Awal tahun lalu, SK Paya Bunga, SK Telok Kalong dan SK Kompleks Seberang Takir telah pun menerima sumbangan bagi tujuan yang sama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab. Halim Yusof, dengan membantu sekolah menubuhkan kelas maya, ia akan meningkatkan lagi minat belajar di kalangan murid dan mendidik mereka mengenai pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pembelajaran.

"Penubuhan kelas maya sebegini di sekolah-sekolah dapat mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan pelajaran di mana komputer akan digunakan sebagai sokongan kepada proses pembelajaran yang lebih bersepadu antara guru dan pelajar sekolah," kata beliau.

Inisiatif seperti ini juga dapat meningkatkan mutu pelajaran di kalangan anak-anak pekerja TDM Plantation.

"Seterusnya, ia mampu mewujudkan satu persekitaran yang kompetitif kepda kanak-kanak estet supaya turut cemerlang dalam proses pembelajaran mereka," katanya.

Ab. Halim menjelaskan bahawa adalah menjadi sebahagian dari tanggungjawab korporat TDM agar sentiasa membantu masyarakat sekeliling di mana mereka beroperasi.

Katanya,dengan menghulurkan sokongan dalam pelbagai cara terutama dalam menangani isu-isu pelajaran dan pembasmian kemiskinan.

Kelas maya adalah integrasi ICT melalui perisian, perkakasan dan prasarana dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Ia melibatkan penggunaan jaringan Wi-fi , 'Interactive Smart Board' dan e-book dalam bilik darjah, melibatkan guru dan murid berinteraksi antara satu sama lain.

"Kami akan terus membantu sekolah-sekolah lain untuk menubuhkan kelas-kelas maya di masa hadapan," ujarnya.