Halaman

21 September 2011

Semua kebajikan rakyat BN tanggung

Oleh; Esah Abdullah

Semuanya sudah dilaksanakan, beri dana raya, dana remaja, agih pakaian sekolah, beri atap rumah malah keluarga miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas dapat elaun bulanan.

“Saya nak tanya orang Pas, apa lagi yang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak buat untuk bantu rakyat,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap di hadapan lebih 10,000 pemimpin masyarakat, peniaga dan orang ramai yang hadir di majlis Perasmian Pasar Baru Kedai Buloh petang semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin telah melakukan perasmian pasar berkenaan yang berharga lebih RM9 juta dan mempunyai 206 lot perniagaan serta memulakan operasi sejak sebulan lalu.

Katanya, bila BN kalah di beberapa kawasan, Pegawai Pembangunan DUN ditempatkan di kawasan berkenaan untuk jaga kebajikan rakyat.

“Kawasan menang dan kalah kita beri sama rata, tidak ada pilih kasih dan inilah yang diamalkan oleh kerajaan BN sejak dulu,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya meminta rakyat mengambil iktibar daripada semua yang terjadi dan berlaku serta melihat keperihatinan kerajaan BN yang sentiasa membela nasib rakyat.