Halaman

12 September 2011

Saran mualaf ikuti kelas fardu ain

Oleh: Esah Abdullah dan Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengalu-alukan golongan mualaf di Terengganu untuk menyertai Kelas Fardu Ain Saudara Baru bertujuan memperkukuhkan dan mendalami ajaran Islam secara mendalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata kelas yang dikhaskan untuk golongan itu diadakan tiga kali seminggu iaitu setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu.

“Mereka yang mengikuti kelas kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan dibayar elaun khas sebanyak RM20 pada setiap sesi, jika mampu mengikuti kelas itu secara penuh pada setiap bulan, akan dibayar RM240.

“Tempoh bayaran elaun itu dihadkan selama lapan tahun saja bagi setiap mualaf dan akan diselidik kembali sama ada mereka sudah mampu berdikari atau sebaliknya jika diminta penerima untuk memanjangkan tempoh bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri Maidam di perkarangan pejabatnya, hari ini.

Pelbagai menu istimewa termasuk nasi minyak, laksa Terengganu, ketupat, tapai, ais cendol dan puding raja, dihidangkan kepada lebih 500 tetamu yang hadir.

Haji Wan Harujan turut memberitahu, sehingga kini hampir 250 mualaf dari seluruh Terengganu aktif mengikuti kelas yang diwujudkan di setiap daerah.

Katanya, pihaknya serius membimbing golongan mualaf atau saudara baru kerana dibimbangi akan kembali ke agama asal.

“Pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk mewujudkan kelas al-Quran, sesi kaunseling, ibadat harian dan pelbagai modul berkaitan ajaran agama Islam bertujuan memikat hati golongan itu terus melekat pada Islam,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Konvensyen Saudara Baru di Terengganu di mana lokasinya akan ditentukan kemudian selepas mendapat persetujuan semua pihak.

“Seramai 1,000 mualaf dari seluruh negara dijangka hadir pada konvensyen yang pertama kali diadakan di negeri ini.

“Maidam mensasarkan memperoleh tempat terbaik bagi Kategori Mualaf Contoh pada program yang dijangka diadakan pada November itu nanti,” katanya.