Halaman

28 September 2011

Polis Besut bantu 12 keluarga miskin

Oleh: Mohammad Ishak


Zainy menyampaikan sumbangan kepada seorang keluarga angkat Polis Besut

Penderitaan hidup 12 keluarga miskin di daerah Besut mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mereka diambil sebagai anak angkat bagi membantu kesulitan hidup yang dihadapi keluarga terbabit.

Keluarga berkenaan masing-masing dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut,Jertih, Kota Putera dan Kuala Besut, dipilih sendiri oleh PDRM berdasarkan kemiskinan mereka tanpa melalui mana-mana pihak.

Berikutan itu keluarga terbabit semalam diundangkan khas ke Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) Besut,Kampung Raja, untuk diraikan dalam satu majlis sempena rumah terbuka Aidilfitri Polis Besut.

Pada majlis itu mereka diberi layanan istimewa selain diberikan hamper berupa makanan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noor Zainy Mohd Noor kepada keluarga terpilih.

Noor Zainy berkata, pihaknya akan menjadikan keluarga terbabit sebagai anak angkat Polis Besut dan akan terus membantu segala keperluan yang diperlukan oleh mereka termasuk pembelajaran anak-anak.

Katanya, anggota polis di setiap kawasan diarah mencari sendiri keluarga miskin tanpa melalui mana-mana agensi untuk mengemukakan nama kepada IPD bagi pertimbangan jawatankuasa pemilih.

“Alhamdulillah kami berjaya mengesan status keluarga terbabit dan mereka sememangnya hidup dalam keadaan miskin dan perlu diberi bantuan,” katanya pada majlis sambutan rumah terbuka berkenaan.

Rumah terbuka PDRM itu ternyata mendapat sambutan apabila ribuan penduduk tempatan membanjiri perkarangan IPD Besut sejak awal pagi untuk menikmati jamuan selain beramah mesra dengan anggota pasukan keselamatan berkenaan.

Zainy mengucapkan terima kasih kepada penduduk daerah itu yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada Polis dalam usaha membantu membanteras jenayah dan berharap mereka akan terus bekerjasama dengan PDRM.