Halaman

30 September 2011

Pemimpin KRT Maran, Pahang lawat daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Rombongan KRT Maran.Pahang bergambar kenangan bersama jawatankuasa KRT Bandar Jertih


Keunikan daerah Besut yang kaya dengan produk pelancongan dan pendidikan menjadi pilihan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Maran, Pahang, memilih daerah ini sebagai destinasi pelancongan sempena Program Lawatan Perpaduan ke negeri ini semalam.

Rombongan yang diketuai Penolong Pegawai Perpaduan Daerah itu, Normaimi Awang Musa, bersama 40 peserta lain terdiri daripada pemimpin 11 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah berkenaan menghabiskan masa sehari suntuk melawat Besut.

Sempena lawatan itu KRT Bandar Jertih yang menjadi tuan rumah turut dikunjungi dan berpeluang bersama ahli jawatankuasa sambil bertukar pendapat mengenai sistem pentadbiran yang dilaksanakan oleh KRT Bandar Jertih yang pernah meraih pelbagai kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Lawatan bermaklumat itu juga berpeluang Pusat Minda Besut (PMB), Desa Ukiran Kayu (DUK), Institut Latihan Islam (ILIM) Wilayah Timur, Kompleks Imtiaz dan pusat Pelancongan Bukit Keluang.

Normaimi berkata, lawatan singkat itu memberi banyak pengetahuan berguna kepada peserta terutama ketika melawat Pusat Minda dan Desa Ukiran Kayu kerana tempet seperti itu tidak ada di negeri lain.

Katanya, lawatan itu sebenarnya bertujuan memberi peluang kepada pemimpin KRT Daerah itu, mempelajari sistem pengurusan KRT yang berjaya dilaksanakan oleh KRT Bandar Jertih sehingga Berjaya mendapat pelbagai anugerah.

Menurutnya, menerusi lawatan itu diharap pemimpin terbabit dapat menimba sedikit pengetahuan selain bertukar idea dalamn usaha memantapkan lagi organisasi KRT di tempat masing-masing.

“Paling menarik program itu juga berjaya menjalin semangat perpaduan dikalangan pemimpin KRT yang mewakili masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Menurutnya, keunuikan penduduk Besut yang tersohor dengan ukiran kayu tradisional juga memberi peluang kepada peserta mengenali secara lebeih dekat mengenai kerja-kerja ukiran tradisional yang diusahakan oleh pengukir bertaraf antarabangsa yang lahir di daerah itu.