Halaman

15 September 2011

Kerajaan Terengganu giat tingkat syiar Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Masyarakat Islam Selatan Thailand memuji Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana membangunkan Malaysia sebagai negara Islam yang dihormati serta menyediakan pelbagai kemudahan terbaik untuk kemajuan umat Islam.

Mengikut laporan Berita harian hari ini, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Ahmad Tuyong, berkata Kerajaan Malaysia memberikan keutamaan terhadap pembangunan Islam sehinggakan rakyatnya mendapat pendidikan tinggi setaraf bangsa lain di dunia.

Ahmad lalu menjelaskan keadaan di Malaysia jauh lebih baik berbanding wilayah Yala atau wilayah-wilayah lain di Thailand yang mempunyai ramai penganut islam, kerana mereka tidak diberi bantuan oleh Kerajaan Thailand untuk meningkatkan syiar Islam.

Di Terengganu pula, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sentiasa melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan syiar Islam di mana sebahagian besar peruntukan disediakan pada setiap tahun bagi tujuan tersebut.

Melalui Yayasan Islam Terengganu (YIT), berpuluh-puluh juta ringgit dibelanjakan setiap tahun bagi membayar gaji guru-guru Kelas Fardu Ain (Kafa) untuk mengajar kanak-kanak mengaji dan belajar agama.

YIT juga menyediakan perbelanjaan yang besar bagi membayar elaun guru-guru mubaligh untuk mengajar agama di masjid dan surau seluruh negeri mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Besar mengeluarkan idea bagi menyediakan e-Book yang turut memuatkan pengisian berhubung pengajian al-Quran, sembahyang jenazah dan pelbagai pengajian agama kepada murid-murid sekolah rendah.

Masjid yang tersergam indah dibina bagi kemudahan umat islam melakukan amal ibadat dan tempat ibadat yang uzur diubahsuai atau diganti baru bagi keselesaan jemaah.

Program Pintar al-Quran diperkenalkan bagi membolehkan kanak-kanak di peringkat pra-sekolah lagi menguasai al-Quran dan sebahagiannya sudah khatam al-Quran sebelum masuk ke Tahun Satu lagi.

Bukan saja elaun imam dan bilal dinaikkan bagi memartabatkan institusi agama, tetapi mereka juga menerima banyak faedah daripada kerajaan negeri, termasuk menunaikan haji secara percuma bagi mereka yang telah berkhidmat dengan cemerlang.

Melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pula banyak lagi program bertujuan mengimarahkan masjid dan meningkatkan syiar Islam dilakukan di seluruh negeri.

Sepanjang Ramadan pula, Menteri Besar mengadakan program khas membawa imam dari Timur Tengah, termasuk dari Makkah bagi menjadi imam solat tarawih di masjid-masjid utama negeri ini.

Beliau mahu penduduk tempatan lebih bersemangat untuk menunaikan ibadat pada bulan puasa, khususnya menunaikan solat tarawih berimamkan imam dari Makkah atau Mesir.

Begitu banyak program berunsur agama dilaksanakan kerajaan negeri dan ia sentiasa ditambah dan diubahsuai dari semasa ke semasa, khusus bagi meningkatkan syiar Islam.

Adalah tidak wajar jika ada pihak yang mendakwa negara ini, termasuk Terengganu belum lagi islam.

Di manakah kewajarannya dakwaan ini?. Apa yang pasti golongan ini sengaja mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia bukan negara Islam kerana kepentingan politik semata-mata.