Halaman

26 September 2011

Hudud Pas sekadar dendangan lagu raya

Oleh FAUZI MOHD

Umpama dendangan lagu hari raya – melodi dan liriknya dilagukan setiap tahun dan penyanyinya pula terdiri daripada para pemimpin sebuah parti yang mengaku lebih Islam berbanding parti lain.

Baru-baru ini, sekali lagi Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bersuara meminta agar Perdana Menteri membenarkan hudud dilaksanakan di Kelantan kerana beliau yakin banyak masalah boleh diselesaikan sekiranya hukum itu dijalankan.

Semuanya gara-gara laporan Majlis Aids Malaysia yang mengatakan Kelantan mencatat bilangan pesakit HIV tertinggi di Malaysia pada 2010.

Untuk pengetahuan, bukan sahaja 2010 Kelantan menjadi juara HIV, malah pada tahun 2008 dan 2009 anugerah itu tidak terlepas ke negeri lain.

Seperti biasa, sesuai dengan perangai pemimpin dan penyokong-penyokong Pas, apa sahaja yang buruk akan dilemparkan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Mursyidul Am Pas kata, punca HIV tinggi di Kelantan kerana mereka gagal melaksanakan hukum hudud yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 kerana halangan daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Itu cuma kenyataan orang politik yang enggan mengakui kelemahannya sebagai Menteri Besar Kelantan serta mahu menjaga undi orang-orang kampung yang berkain pelikat atau berselipar ‘Jepun’ terhadap partinya.

Cuba bayangkan sekiranya laporan-laporan akhbar atau berita yang tersiar beberapa hari lepas melaporkan Kelantan mencatatkan bilangan paling rendah penghidap HIV di Malaysia, apa pula mereka akan kata?

Mereka akan kata, "inilah berkat pemerintahan tok guru dan kerajaan Islam di Kelantan."

Tetapi apabila akhbar melaporkan Kelantan yang paling tinggi, terus kesalahan diletakkan kepada sesiapa sahaja kecuali dirinya sendiri.

Jadi di manakah relevannya apabila Nik Aziz mengaitkan kegagalan melaksanakan hudud punca pesakit AIDS tinggi di Kelantan?

Begitu juga apabila parti itu kalah pilihan raya, salahkan parti lawan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apabila pesakit HIV tinggi salahkan Tun Dr. Mahathir dan hukum hudud.

Tempoh 21 tahun Pas perintah Kelantan bukannya tempoh yang pendek. Tun Dr. Mahathir mentadbir negara selama 22 tahun.

Tahun depan tempoh Nik Aziz jadi MB Kelantan dah sama dengan tempoh Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri.

Apa kejayaan yang boleh dibanggakan dengan 21 tahun pemerintahan Nik Aziz? Pembangunan rohani gagal, pembangunan jasmani pun gagal.

Beberapa pihak pernah memaklumkan hudud yang dibawa oleh Pas pada tahun 1993 bukannya hudud yang sebenar mengikut syariat Islam. Ia hudud politik.

Sengaja direka cipta supaya ditolak oleh Kerajaan Pusat pada masa itu. Apabila ditolak bolehlah dijaja cerita UMNO tolak Islam.