Halaman

25 September 2011

Hospital Universiti akan dibina di UNiSZA.

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah Hospital Universiti (HU) akan dibina di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) Gong Badak Kuala Terengganu dan kerja-kerja merata tapak dijangka bermula pada Februari atau Mac tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, hospital berkenaan akan dibangunkan dalam kawasan kampus berkenaan di tapak seluas 40 hektar.

“Perdana Menteri sudah meluluskan 400 buah katil bagi peringkat permulaan daripada 800 buah yang diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun Empat Peringkat Negeri di Stadium Tertutp Gong Badak hari ini.

Katanya, kewujudan HU akan menjadi hospital pendidikan serta sumber rujukan pesakit di negeri ini seperti fungsi Hospital Universiti di Kubang Kerian, Kelantan dan UKM di Bangi, Selangor.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri melaksanakan pendekatan mendidik dengan menubuhkan kelab remaja bermotosikal bagi menarik golongan belia menyertai aktiviti berfaedah.

“Kita akan susun aktiviti untuk golongan ini dengan mengadakan konvoi ke daerah-daerah dan setiap perhentian akan diisi dengan pelbagai aktiviti riadah dan ceramah motivasi,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menambah lebih banyak pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelumba haram di sekitar bandar ini.

“Perkara ini bertujuan merakam setiap aktiviti remaja rempit dan akan memanggil ibu bapa supaya menonton gelagat anak-anak mereka, kerana sebelum ini ada yang tidak boleh terima anak mereka terlibat,” katanya.