Halaman

26 September 2011

EIO pantau e Book di 430 sekolah

Oleh; Esah Abdullah

Penempatan Eksekutif Teknologi Maklumat (EIO) di 348 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 82 Sekolah Menengah (SM) seluruh negeri mampu menambah baik pengurusan dan penggunaan e book kalangan pelajar.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud berkata, statistik pengunaan e Book sehingga ini melebih 72,000 pelajar memerlukan pemantauan rapi dan berterusan.

“Prestasi EIO sangat memuaskan kerana dengan adanya Virtual Classroom serta Sekolah Maya sangat memerlukan penglibatan dan sokongan tenaga pakar bagi memastikan prasarana ICT Virtual School beroperasi dengan baik,” katanya di majlis Pelancaran Penyerahan e Book Tahun Empat Peringkat Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Stadium Tertutup Gong Badak semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh timbalannya, Encik Hashim Mohd Zin.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli DUN Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.

Katanya, cadangan permuafakatan secara gabungjalin bersama agensi lain seperti Bestari.Coom dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta komuniti setempat dapat memanfaatkan kelebihan e Book dan penempatan EIO.

“Penyertai semua peringkat mampu melahirkan pendidikan terbilang serta melestarikan pendidikan didalam komuniti,” katanya.

Dalam majlis berkenaan seramai 1038 pelajar dalam DUN Tepoh merupakan kumpulan pertama menerima pemberian e Book bagi Murid Tahun Empat daripada 23,000 seluruh negeri.