Halaman

20 September 2011

Belia Anjur Program Sentuhan Rohani



Oleh: Amirullah Othman

Seramai 100 pelajar yang bermasalah dan berisiko dari sekolah daerah Marang, Dungun dan Kemaman berkampung selama dua hari satu malam di D’Awang Beach Resort, Rantau Abang Dungun Terengganu, kelmarin.

Program ini dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, AADK Daerah Marang dan TQHM Consultant (Islamic Leadership Training).

Peserta-peserta diterapkan dengan aspek kerohanian dan keagamaan untuk membentuk jati diri yang kental dalam jiwa masing-masing untuk mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial.

Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Mat Yusof Mat Ali berharap peserta dapat mengambil peluang ini sebaiknya dan program ini merupakan siri yang kedua daripada empat siri yang dijalankan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Terengganu yang menyokong penuh program ini dengan menyalurkan peruntukan empat program yang sepanjang bulan ini.

Beliau juga berharap sokongan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Agensi Anti Dadah Negeri Terengganu dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu amat penting bagi memupuk jati diri belia.

Modul yang sangat baik daripada TQHM Consultant (Islamic Leadership Training) telah menyentuh jiwa setiap peserta program.

Program ini dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu Encik Abdul Aziz Abdul Rahman.

Beliau sangat-sangat berharap para peserta dapat membaiki diri ke arah yang lebih baik supaya tidak terjerumus dengan perkara –perkara yang tidak elok seperti mat rempit, gejala penyalahgunaan dadah, gejala sosial dan sebagainya.

Semua peserta menunjukkan respon yang positif dan berharap program seumpama ini dapat dijalankan lagi dengan tempoh masa yang lebih lama lagi.

Majlis penyampaian sijil penyertaan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu kepada semua peserta dijalankan selepas selesai majlis perasmian.