Halaman

27 September 2011

Anak peneroka Felda graduan cemerlang PSMZA

Oleh FAUZI MOHD



Sejak dari bangku sekolah hingga menjejakkan kaki ke menara gading, Mohd. Farred Hadi, 24, sentiasa berada meja depan dalam bilik kuliah.

Ditambah pula sikapnya yang sering bertanya, anak peneroka Felda Ketengah Jaya, Dungun muncul antara 14 penerima Anugerah Pelajar Cemerlang sempena Majlis Konvokesyen kelapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) hari ini.

Selain itu, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal itu turut merangkul Anugerah Projek Kumpulan Terbaik bersama empat rakannya, Mohd. Lutfi Abd. Rashid, Amizul Hashiddy Yusof, Mohd. Sabri A. Ghani dan Mohd. Zulhilmi Mat Ngah.

“Saya berharap anugerah yang diterima ini menjadi perangsang kepada adik-adik saya yang masih bersekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen tersebut.

Anak keempat dari lapan beradik itu memberitahu, dia yang kini menyambung pengajian di Universiti Malaysia Pahang dalam Ijazah Sarjana Muda Mekanikal Am bercita-cita mahu menjadi jurutera.

Mohd. Farred adalah antara 1,474 graduan PSMZA yang diraikan dalam majlis tersebut dan menerima sijil yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir, Pengarah PSMZA, Zolkarnain Jobshi.

Daripada jumlah itu, 343 orang merupakan graduan sijil dan diploma dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (290), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (523) dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (221).



Selain Mohd. Farred, turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang, Mohd. Aswan Azmin, Nor Lidza Jaafar, Nur Hamizah Abd. Rahman, Muhammad Fikri Abdul Nizam, Siti Aishah Hassan Basri, Ahmad Alif Azhar dan Nurhafizah A. Latif.

Dalam pada itu, tiga mantan Pengarah PSMZA turut menerima Anugerah Jasamu Dikenang iaitu Mohd. Ghaus Ab. Kadir yang berkhidmat pada 1 Oktober 2011 hingga 1 Oktober 2002, Lim Kok Leong (1 November 2002 hingga 30 November 2003) dan Mahassan Zakaria (1 Januari 2004 hingga 18 November 2006).