Halaman

25 September 2011

32 graduan sulung ijazah sarjana muda TATiUC

Oleh FAUZI MOHD

Selepas penubuhannya selama 17 tahun, Kolej Universiti Tati (TATiUC) melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya melahirkan 32 graduan sulung peringkat ijazah sarjana muda, semalam.



Rektornya, Dr. Mohd. Rozailan Mamat berkata, kejayaan TATiUC itu cukup membanggakan warga kampus berkenaan yang kini sedang mengorak langkah menjadi universiti penuh tahun 2015 nanti.

Beliau berkata, TATiUC sebelum ini hanya menjalankan kursus peringkat diploma kemahiran dalam pelbagai bidang seperti Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Industri Automotif, Rangkaian Komputer, Teknologi Polimer dan Kejuruteraan Kimia.



Katanya, kursus peringkat ijazah pertama itu dijalankan secara sepenuhnya di kampus berkenaan di Telok Kalong walaupun sebelum ini graduan diploma TATiUC melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Rozailan, sehingga kini TATiUC menawarkan 28 program termasuk 11 kursus peringkat ijazah sarjana muda, 13 kursus diploma kemahiran, empat peringkat sijil dan beberapa kursus kemahiran jangka pendek peingkat persijilan.

“Selain itu, bermula tahun ini TATiUC telah memulakan pengambilan pertama pelajar dalam bidang Sarjana Kejuruteraan Mekatronik melalui penyelidikan dan buat permulaan seramai tiga orang pelajar sedang mengikutinya secara sepenuh masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen TATiUC kali kelima di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), semalam.

Pada majlis itu, seramai 404 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Canselor TATiUC, Tan Sri Dato’ Ir. Wan Abdul Rahman Wan Yookob.

Tambah Mohd. Rozailan, sehingga kini terdapat lebih 2,000 pelajar sedang menuntut di kolej berkenaan termasuk 800 pelajar baru.

“Atas perkembangan itu, TATiUC sedang melakukan penambahbaikan terhadap beberapa kemudahan di kampus berkenaan termasuk sebuah dewan konvokesyen, perpustakaan, asrama pelajar baru dan sebuah kompleks sukan yang dijangka siap menjelang 2014,” ujarnya.



Pada majlis itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengeluaran, Leong Chin Jye diumumkan sebagai penerima Anugerah Canselor manakala graduan Diploma Kejuruteraan Insudustri Automotif, Wan Muhammad Basyir Wan Mohd. Zaki menerima Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah.

Turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik, Muhammad Zulkhairi Ishak dari pengkhususan Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Mohd. Ramzi Mamat (Diploma Kejuruteraan Pembuatan), Mohd. Hazimi Abd. Mubin (Diploma Rangkaian Komputer), Muhammad Fahmi A. Razak (Diploma Kejuruteraan Teknologi Polimer), Noratiyah Atirah Norudin (Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia) dan Ummar Farouk Abd. Hamid (Diploma Kejuruteraan Elektrik