Halaman

17 September 2011

1,168 graduan UniSZA terima sarjana, sarjana muda dan diploma

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 1,168 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima ijazah sarjana, sarjana muda dan diploma pada Istiadat Konvokesyen UniSZA ketiga yang berlangsung di universiti itu di Gong Badak, Kuala Terengganu, bermula hari ini.



Majlis selama dua hari itu menyaksikan seramai 464 graduan menerima ijazah sarjana muda, 703 menerima diploma dan seorang graduan menerima ijazah sarjana dalam bidang Sains.

Daripada jumlah itu, 33 daripada mereka adalah graduan pertama daripada Fakulti Teknologi Makanan yang menerima ijazah sarjana muda.

Penerima ijazah sarjana muda yang lain melibatkan 32 graduan dari Fakulti Informatik , Fakulti Pengajian Islam (86), Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (78), Fakulti Pertanian dan Bioteknologi (27), Fakulti Teknologi Makanan (33) dan Fakulti Undang-Undang (32).

Bagi penerima diploma, 66 graduan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (40), Fakulti Pengurusan Perniagaaan dan Perakauan (209), Fakulti Informatik (11), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (53), Fakulti Undang-Undang (29) dan Fakulti Pengajian Islam (470).



Berangkat menyampaikan transkrip kepada para graduan ialah Canselor UniSZA, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud.

Dalam ucapan pembukaan istiadat itu, Prof. Dato’ Dr. Alias berkata, jumlah graduan UniSZA sehingga kini seramai 5,451 orang termasuk 3,280 graduan pada tahun 2009 dan 1,003 graduan pada tahun lalu.

Katanya, selain berbangga dengan kejayaan para graduan saban tahun, pencapaian UniSZA dari sudut akademik dan penyelidikan berjaya melonjakkan nama universiti itu.

“Misalnya, pensyarah UniSZA telah meraih anugerah ‘Best Paper Award’ pada persidangan antarabangsa ‘Asean Academy of Applied Business 2011’ dan meraih Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi di Seminar Kebangsaan Pasca Siswazah Statistik.

“Selain menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti antarangbangsa dari China, Timur Tengah, Jepun dan Thailand, UniSZA turut mengadakan perjanjian persefahaman dengan McGill University di Kanada bagi membina sebuah ‘teaching hospital’ dan kemudahan teleperubatan di universiti itu,” ujarnya.