Halaman

11 September 2011

100 individu berjasa dari daerah Besut akan terima anugerah

Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 100 individu yang pernah menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara dipilih untuk menerima anugerah khas sempena Semarak Merdeka Peringkat Daerah Besut yang akan diadakan di Dataran Jertih Souq pada 24 September ini.

Mereka yang dipilih termasuk bekas pemimpin kerajaan, tokoh politik, akademik, agama, kebudayaan, ketenteraan, pendidian dan sukarelawan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program, Dr A Rahman Mokhtar gambar)yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata, sempena program paling berpristej itu dijangkakan kira-kira 15,000 penduduk daerah Besut akan menghadiri majlis berkenaan.

Katanya, tokoh bakal menerima anugerah ialah Bekas Menteri Pusat dan Exco Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Yusof Noor, Bekas Ketua Hakim Negara yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Tun Mohd Salleh Abas, Bekas Speaker DUN, Datuk Hussein Awang, dan beberapa bekas ADUN dari Besut.

Selain itu,katanya, profesor, jurutera, diplomatik,tokoh sukan dan individu lain yang terdiri daripada anak jati daerah Besut akan diseneraikan sebagai tokoh dalam bidang masing-masing dengan mengenepikan fahaman politik.

Dr A Rahman yang juga Setiusaha Umno Bahagian Besut berkata, program anjuran Umno Bahagian itu dengan kerjasama Pejabat Daerah Besut bertujuan membangkitkan semangat kemerdekaan kepada seluruh warga Besut.

Menurutnya,acara itu bertambah meriah dengan penyertaan lebih 10,000 peserta perbarisan dan konvoi kenderaan termasuk kereta buatan Malaysia, motosikal, vespa,basikal dan kenderaan pacuan empat roda serta kereta sewa.

Katanya, perarakan kenderaan terbabit bermula dari DUN Hulu Besut, Kota Putera, Jabi dan Jertih dan berakhir di Dataran Jertih Souq.

“Paling menarik ialah perarakan empat ekor gajah yang diikuiti oleh kontijen pelajar,kakitangan kerajaan dan swasta, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh daerah Besut,” katanya.