Halaman

14 August 2011

Warga hospital dirai dalam majlis berbuka puasa

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 2,500 orang kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), klinik swasta dan keluarga pesakit akan diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di perkarangan Klinik Harian Kuala Terengganu pada 27 Ogos depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Rosnah Rashid Shirlin dijangka hadir pada majlis yang pertama kali diadakan bagi meraikan petugas di hospital.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Penerangan Puteri UMNO Pusat, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, program ini anjuran bersama Persatuan Wanita Melayu Muda (Mawardah) dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

“Majlis ini antara lain untuk menyatakan penghargaan terhadap kakitangan hospital yang tidak kenal erti jemu melayan pelbagai ragam pesakit ,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu katanya, tugas jururawat dan doktor tanpa mengira waktu dan pengorbanan mereka tidak ternilai dengan wang ringgit.

Menteri Besar dan Dato’ Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan turut mengagihkan 850 hamper kepada semua pesakit bermula di wad satu hingga lapan di HSNZ pada hari berkenaan.