Halaman

21 August 2011

Teruja berbuka puasa bersama Menteri Besar

Oleh FAUZI MOHD

Setiap kali ketibaan bulan Ramadan pastinya ia disambut dengan gembira oleh warga siswa dan siswi bersama dengan rakan-rakan dan pihak universiti.

Lazimnya di kampus, banyak program berbuka puasa dianjurkan dalam memenuhi keadaan pelajar yang berjauhan daripada keluarga untuk mengurangkan kesayuan masing-masing.


Sebahagian pelajar Terengganu yang turut serta pada majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Gambar Harish Fadzillah

Sikap prihatin dan penyayang pentadbiran universiti serta organisasi lain berjaya menjadikan sambutan Ramadan meriah dan sempurna dengan pelbagai program serta aktiviti yang dianjurkan.

Malam tadi, sebahagian daripada mereka bertuah apabila berkesempatan berbuka puasa bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan beberapa pemimpin negeri yang lain di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Program anjuran bersama Kerajaan negeri dan Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pesat) itu berjaya menghimpunkan lebih 2,000 anak Terengganu termasuk kira-kira 300 pelajar yang menuntut di kampus universiti sekitar Lembah Klang itu.

Penuntut Sarjana Muda jurusan Farmasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bukhari Mat Rahim, 20, ketika ditemui berkata, kesudian Menteri Besar meluangkan masa berbuka puasa bersama anak Terengganu menunjukkan sifat keperihatinan dan ambil berat beliau terhadap golongan pelajar.

“Majlis ini memberi mesej yang jelas bahawa Dato’ Seri mahu melihat mahasiswa lahir sebagai graduan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya yang berasal dari Kampung Sura Hujung, Dungun.



Bagi pelajar Bacelor Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Maziah Ahmad Rafie, 24, memberitahu, jemputan itu merupakan satu penghormatan kepada mereka sebagai penuntut yang berada di luar Terengganu.

“Kami teruja dengan jemputan ini dan berharap ia membuka lembaran baru dalam meningkatkan lagi kemajuan pendidikan anak Terengganu pada masa akan datang,” ujarnya yang merupakan anak jati Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Muhamad Nafis Mohd. Noor, 21, pelajar Sains Kejurulatihan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia bangga dengan pendekatan yang dilakukan Kerajaan Negeri yang berjaya menghimpunkan ramai anak Terengganu pada majlis itu.

“Ia sedikit sebanyak berjaya mengubati kerinduan kami terhadap suasana Ramadan di kampung kerana pada kami ia cukup indah terutamanya bila dapat bersama ahli keluarga tatkala waktu berbuka puasa,” katanya.