Halaman

07 August 2011

TDM tambah ekuiti sektor penjagaan kesihatan

Oleh FAUZI MOHD

Syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri, TDM Berhad menambah satu lagi ekuiti dalam sektor penjagaan kesihatan dengan mengambil alih sepenuhnya Taman Desa Medical Centre (TDMC) di Kuala Lumpur.



Pengerusinya, Datuk Mohd. Roslan Awang Chik berkata, dengan pengambil alihan itu, TDM kini mempunyai empat buah hospital bersaiz sederhana termasuk Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) , Kuantan Medical Centre dan Kelana Jaya Medical Centre.

Katanya, pengambilalihan TDMC yang bermula sejak April lalu melibatkan kos RM16.5 juta dan TDM memperuntukan kos tambahan sebanyak RM22 juta bagi menaiktaraf kemudahan hospital dalam usaha memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

"Dengan pengambilalihan ini TDM menjangkakan mampu memberi pulangan yang lebih baik melalui sektor kesihatan dalam masa yang singkat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama hampir 80 anak-anak yatim Asrama Darul Falah di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, di sini, semalam.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-46 tahun ini, TDM telah mengisytiharkan bayaran dividen lebih tinggi sebanyak 13.5 sen bagi setiap syer biasa di akhir tahun kewangan 31 Disember 2010, berbanding 12 sen pada tahun 2009.

Tambah Roslan, TDM akan memperuntukan lebih RM150 juta bagi membina sebuah lagi hospital pakar swasta di negeri ini yang bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan moden dan terkini.

"Pembinaannya akan bermula tahun hadapan di Batu Buruk melibatkan kemudahan 150 katil dan apabila siap kelak ia mampu menaikkan lagi imej Terengganu serta syarikat kerana berupaya membina banyak hospital swasta di Pantai Timur.

"Justeru perkhidmatan yang ditawarkan di semua hospital milik TDM adalah setanding dengan apa yang terdapat di hospital negara-negara maju," katanya.