Halaman

29 August 2011

Puan Norliza milki sifat gemar belajar

Oleh: Suriati Ali

Setiap apa jua kerjaya sama ada membabitkan bidang profesional, perkeranian, kewangan dan pihak berkuasa semuanya memerlukan pembelajaran secara berterusan sekiranya serius ingin mencapai matlamat lebih tinggi dalam kerjaya yang diceburi.

Prinsip itu sentiasa diamalkan Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Khidmat dan Pengurusan) Perbendaraan Negeri Terengganu, Puan Norliza Ismail, 31 sejak berada di jabatan kerajaan.

Walaupun sesukar mana tugasan yang diarahkan ketua jabatan, beliau berusaha melaksankannya sebaik mungkin dan penuh dengan ketelitian supaya memenuhi kehendak majikan.

Puan Norliza juga lebih gemar bersikap rendah diri untuk menyoal perkara yang tidak ketahui kepada kakitangan bawahan dan lebih berusia.

Cara kerja yang diamalkan itu nyata membuahkan hasil apabila beliau kini memiliki kerjaya yang selesa dan disegani ramai walaupun baru mencecah usia awal 30-an.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM) itu pernah bergelar guru sandaran tidak terlatih sebaik tamat pengajian pada 2004.

Kemudiannya ditawarkan bertugas sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah Dungun.

Komitmen tinggi terhadap tugas membuatkan Puan Norliza dinaikkan pangkat ke jawatan lebih selesa iaitu sebagai Penolong Pengarah (Galian) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu pada Januari 2009.

Selepas menyandang jawatan itu selama dua tahun empat bulan, beliau dinaikkan pangkat lagi kepada jawatan lebih tinggi iaitu jawatan yang disandang sekarang sebagai Ketua Penolong Kewangan Negeri (Khidmat dan Pengurusan).

“Tidak rugi seseorang itu menuntut ilmu walau setinggi mana pun, lagi banyak mereka meneroka ilmu, lebih mendalam sesuatu aspek dapat diketahui terutama berkaitan kerjaya yang dimiliki.

“Saya cukup gemar mempelajari sesuatu perkara terutama berkaitan kerja yang sukar dilaksanakan, perkara itu cuba diselsaikan dengan teliti supaya dapat memenuhui kehendak majikan atau ketuan jabatan,” katanya yang berasal dari Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu.

Katanya, lebih tinggi jawatan yang dipertanggungjawabkan, lebih besar komitmen wajar dilaksanakan seseorang pekerja itu termasuk terpaksa bertugas di luar kawasan dan melebihi masa.

“Jutaan terima kasih kepada suami Zaifulnizam Zakaria yang bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana memahami tugasan saya malah pada masa sama memberi sokongan yang tidak berbelah bagi,” katanya


Norliza yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam cawangan Terengganu (Puspanita) berkata dia turut terlibat menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan Puspanita.

“Pengajuran aktiviti tahunan seperti lawatan sambil belajar, Hari Mesra Bersama Warga Emas dan Orang Miskin nyata dapat megeratkan silaturahim antara kakitangan kerajaan dan masyakarat luar.