Halaman

11 August 2011

PAS bawa 'penyakit' lalat hijau

Oleh FAUZI MOHD
Gambar HARISH FADZILLAH




PAS Terengganu diibaratkan seperti 'lalat hijau' yang sering membawa penyakit kepada masyarakat berikutan sikap pemimpin parti itu yang sering menghamburkan dakwaan palsu dan tidak berasas.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata, setelah usaha mereka mahu memburukkan kepimpinan Barisan Nasional tidak berkesan, pemimpin parti itu kini sedang sibuk 'membedil' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana tidak mengikut kehendak mereka.

Katanya, selain menuduh SPR berkomplot dengan Barisan Nasional untuk menafikan kemaraan politik mereka, PAS dalam masa yang sama bertukar topeng dengan membawa masuk ramai pengundi luar Terengganu bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

“Mereka bising, ramai pengundi luar Terengganu yang dikatakan menjadi 'pengundi hantu' berdaftar sebagai pemilih di negeri ini. Padahal PAS sebenarnya terlebih dahulu membawa masuk orang luar untuk mempertahankan kubu mereka.



“Contohnya di DUN Rhu Rendang, kita dapati lebih 1,200 pengundi luar Terengganu tidak dapat dikesan kerana mereka bukan orang tempatan. Bila pilihanraya, mereka datang untuk mengundi bagi menjaga aib Presiden mereka daripada tersungkur di kubu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pembahagian Dana Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Dewan Ketengah, Seri Bandi, Kemaman, hari ini. Turut hadir, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Haji Roshali Taha.

Lebih 5,000 rakyat yang berpendapatan rendah di DUN berkenaan menerima dana hari raya mulai hari ini yang diagihkan dalam tiga peringkat iaitu kepada warga emas (RM200), keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).

Mengenai kedudukan bangsa berketurunan Myanmar yang didaftarkan sebagai pemilih kata Dato' Seri Ahmad, pemimpin PAS tidak perlu memutar belitkan isu berkenaan kerana mereka sudah lebih 20 tahun menjadi warganegara dan menetap di negeri ini.

Memang kerajaan ada beri kerakyatan kepada orang Rohingya, Kemboja, Myanmar menjadi pelarian yang asalnya orang Malaysia yang dikerah membuat jambatan maut waktu zaman British dan pendudukan Jepun dulu.

"Mereka ini kerajaan bawa balik dan beri kerakyatan. Di Terengganu, kebanyakkan mereka menjadi buruh dan aktif dalam perladangan kelapa sawit," katanya.

Tambahnya, kepimpinan PAS sepatutnya belajar menerima hakikat bahawa mereka tidak selamanya boleh menipu rakyat.

“Saya belum menjadi wakil rakyat, mereka (bangsa keturunan Myanmar) sudah ada di sini. Kenapa tidak dibangkitkan pada tahun 1990 atau tahun 1995. Ketika PAS menang tahun 1999, kenapa mereka tidak bangkitkan isu ini,” soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu.



Dalam pada itu, beliau mendedahkan, sebanyak 979 pengundi yang tidak bermastautin di DUN Kijal, mendaftarkan diri sebagai pemilih di kawasan berkenaan.

“Kita di UMNO Kemaman ada rekod. Terdapat taktik menggunakan lot tanah yang dibeli di kawasan ini untuk dijadikan alamat daftar mengundi. Apabila kita semak, ada pengundi didaftar dalam hutan kerana tanah mereka dalam hutan,” dedah Ahmad.