Halaman

30 August 2011

MB ucap Selamat Hari Raya

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengajak umat Islam di seluruh negeri supaya mengetepikan fahaman politik, sebaliknya mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan sesama mereka.

Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya berselisih faham disebabkan perkara remeh temeh kerana ia bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi juga merugikan agama, bangsa dan negara.

“Pada hari baik dan bulan yang mulia ini kita perlu bermaaf-maafan antara satu sama lain dan lupakan sengketa lama.

“Lebih elok lagi jika kita sama-sama mengajak generasi baru agar mengekalkan tradisi berkunjung dari rumah ke ramah bagi mengeratkan lagi silaturahim,” katanya ketika memberi perutusan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Menteri Besar dan keluarga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakyat Terengganu khususnya.

“Saya harap kita semua menyambut Aidilfitri dengan penuh keriangan dan semangat muafakat serta perpaduan,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan kepada para perantau yang ingin pulang menyambut lebaran bersama ahli keluarga di kampung halaman masing-masing supaya berhati-hati semasa memandu pulang.

“Saya harap perantau memandu secara berhati-hati, jangan gopoh dan elakkan tragedi. Tidak ada gunanya kita mahu cepat pulang dan melanggar peraturan jalan raya, tetapi pada masa yang sama terlibat dengan kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, di segi kerajaan pula pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik, termasuk menyediakan rangkaian jalan raya yang elok dan sempurna serta selamat dilalui.