Halaman

30 August 2011

MB bangga ramai anak didik Terengganu berjaya

Oleh: Suriati Ali




Kerajaan negeri cukup bangga kerana apa yang disumbangkan kepada pelajar sebelum ini mula menampakkan hasil yang membanggakan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai bukti Mohd Firdaus Samsuddin, 23, dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu, yang baru saja menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Bioteknologi di Imperial College, London, ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford, akhir tahun ini.

Katanya, Mohd Firdaus yang merupakan antara lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005 terbaik di peringkat kebangsaan, ditawarkan mengikuti pengajian peringkat sarjana di bidang Sains Biochemistry di universiti berkenaan.

“Manakala pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Lau Jia Cheng terus melakar kejayaan apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di University Of Cambridge, London, akhir September ini

“Itu antara contoh mereka yang berjaya dalam bidang pendidikan, manakala ahli sukan yang berjaya mengharum nama Terengganu pula adalah Mohd Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah Mustafa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis Penyampaian Bantuan Persediaan di Stadium Tertutup, Komplek Gong Badak, Kuala Terengganu baru-baru ini .

Seramai 4,062 pelajar yang bakal menyambung pelajar ke peringkat ijazah menerima wang tunai membabitkan jumlah keseluruhan RM4.6 juta di mana setiap pelajar menerima RM1,000 seorang.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah YT, Haji Aziz Mamat, beberapa wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Pelajar lepasan Universiti Institut Teknologi Maklumat (UiTM) Dungun, Noor Asmanira Arifin, berkata dia bersyukur ke hadrat Illahi dan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi memberi sumbangan berupa wang tunai kepada kami semua yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

Katanya, sumbangan yang cukup berharga ini nyata mampu meringgankan beban keluarga yang hanya memperoleh pendapatan hasil ayah berkerja sebagai petani.

“Paling utama saya akan membelanjakan duit yang diterima ini untuk membayar yuran pengajian dan membeli kelengakapan belajar di universiti nanti,” katanya yang akan menyambung pengajian peringkat ijazah di UiTM Melaka dalam bidang Sistem Maklumat Perakuanan.