Halaman

07 August 2011

Masjid Tok Jembal destinasi ke-9 Kembara Ramadan Jalur Gemilang

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 40 warga emas dan golongan berpendapatan rendah menerima sumbangan hamper makanan sempena kunjungan Kembara Ramadan Jalur Gemilang 2011 di Masjid Tok Jembal, petang semalam.


Tazkirah Ramadhan disampaikan oleh pegawai agama Unisza sebelum majlis berbuka puasa.

Ketua konvoi berkenaan, Mustafa Abdul Kadir berkata, Masjid Tok Jembal menjadi destinasi kesembilan kumpulan itu selepas program agihan Jalur Gemilang di Taman Uda Murni, Teluk Ketapang.

Di persinggahan itu katanya, kembara anjuran Jabatan Penerangan Terengganu itu turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

"Simbolik kepada kunjungan ini, lima pokok Bunga Raya ditanam di perkarangan masjid ini sebagai tanda semarak merdeka ke-54 pada tahun ini," katanya kepada pemberita di sini petang semalam.


YB Haji Ahmad Razif beramah mesra dengan penduduk yang hadir di majlis tersebut.

Hadir menyampaikan sumbangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir, Penolong Pengarah Penerangan negeri, Mohd. Iskandar Jaafar.

Tambah Mustafa, konvoi meneruskan perjalanan ke Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Teluk Ketapang bagi menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim serta bersahur bersama kumpulan itu.