Halaman

22 August 2011

Hulu Terengganu akan maju setanding daerah lain

Oleh: Mastura Jamaluddin

Daerah Hulu Terengganu akan maju setanding dengan daerah-daerah lain dalam tempoh terdekat ini, khususnya selepas Tasik Kenyir mula beroperasi sebagai kawasan bebas cukai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sudah banyak perancangan dilakukan bagi membangunkan Tasik Kenyir, termasuk cadangan membina hotel dan chalet, berikutan cadangan menjadikan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu sebagai kawasan bebas cukai.

“Kerajaan Pusat sudah meluluskan penempatan 84 pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Ekasais Diraja Malaysia untuk bertugas di kompleks kastam di Tasik Kenyir,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan orang ramai di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Rozi Mamat; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Mohd Nor Othman; Adun Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohd Wan Ibrahim.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menerima banyak permintaan daripada pihak berkenaan untuk membina hotel dan chalet di Pulau Poh dan Pulau Bayas dan ia sedang dipertimbangkan.

“Selepas ini lebih banyak rumah kedai dan kediaman akan dibina sekitar kawasan Tasik Kenyir bagi memenuhi permintaan peniaga dan orang ramai,” katanya.

Secara tidak langsung, bandar Kuala Berang yang menjadi pintu masuk ke Tasik Kenyir akan menjadi lebih maju di masa depan.