Halaman

10 August 2011

Felda Terengganu lancar Kelab 30 Tan

Oleh FAUZI MOHD

Felda Wilayah Terengganu melancarkan Kelab 30 Tan bagi memastikan setiap peneroka di negeri ini dapat meningkatkan pengeluaran hasil yang diusahakan.


Abd. Malib Abd. Rani

Pengurus Besarnya, Abd. Malib Abd. Rani berkata, penubuhan kelab itu baru-baru ini sebagai galakan kepada pengeluaran hasil yang lebih maksimum selain menambah baik sistem pengurusan sedia ada.

“Kelab 30 Tan ini akan memastikan setiap satu hektar tanah dapat mengeluarkan hasil 30 tan buah sawit dalam jangka masa setahun.

“Setakat ini ahli baru yang menyertai kelab ini adalah seramai 14 orang yang semuanya sudah mencapai sasaran hasil yang ditetapkan pengurusan Felda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ahli yang telah menyertai Kelab 30 Tan diharap boleh menjadi contoh kepada peneroka lain bagi Felda seluruh negeri Terengganu dengan mengekalkan pengeluaran hasil maksimum, selain boleh berkongsi pengalaman masing-masing.

“Kita yakin peneroka lain pun boleh mencapai hasil sasaran yang ditetapkan walaupun pada masa ini peneroka Felda Bukit Bading yang paling ramai berbanding peneroka Felda lain.

“Apa yang penting, sasaran ini akan meningkat lebih daripada 100 peratus pada tahun depan dengan keahlian dijangka kira-kira 50 peneroka,” katanya.

Abd. Malib berkata, potensi untuk mencapai hasil itu ada, tetapi paling penting adalah usaha untuk melipatgandakannya ke arah melakukan transformasi baru setiap tahun.

“Tidak mustahil hasil diperoleh sebanyak 20 tan setahun boleh ditingkatkan lagi sebanyak10 tan jika persefahaman daripada peneroka dan usaha yang dilaksanakan oleh pihak Felda sentiasa berterusan,” katanya.