Halaman

15 August 2011

Bicara kes ugut SMS masuki peringkat hujah

Perbicaraan kes “ugutan bunuh melalui SMS” yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu (Dato’ Seri Idris Jusoh), Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir, kini memasuki sesi penghujahan.

Peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh, berkata pihaknya yakin saksi ke-13 dan saksi ke-16 kes berkenaan memberi keterangan meragukan kepada mahkamah kerana banyak perkara yang beliau tidak pasti dan tidak ingat termasuk mengenai nombor password telefon yang digunakan berkaitan kes itu.

Katanya, dalam perbicaraan lepas, saksi Nor Irwan tidak ingat nombor mana yang dihantar kepada Dr Ramzi pada hari kejadian.

“Saksi sama juga tidak ingat nombor mana yang digunakan untuk menghubungi Inspektor Hazwan untuk mendapat nombor password.

“Nor Irwan memberitahu SMS blast dihantar sebanyak empat kali, dua diterima dan dua lagi gagal diterima,” kata Datuk Hazman ketika prosiding kes tersebut yang disambung semula hari ini.

Datuk Hazman berkata, Nor Irwan menyatakan persetujuan bahawa penghantar, `Calon MT nombor 5, kandungan Gelombang Biru! Dato’ Seri Idris Jusoh, Penghantar, `Calon MT nombor 5, kandungan Gelombang Biru! Dato’ Seri Idris’ dan dihantar pada 26 Mac 2009 jam 11.56 pagi adalah melalui sistem SMS blast.

“Setiap kali SMS dihantar melalui sistem itu adalah berjumlah 2,000.
“Kandungan SMS lain adalah, Penghantar, Penjuang UMNO, kandungannya, `Wahai para pewakilan yang budiman, tarikh pada 24 Mac 2009 jam 2.20 pagi,” katanya.

Tertuduh, Datuk Dr Ahmad Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April 2009 lalu, di E 726 Kampung Kubang Parit., Kuala Terengganu.

Datuk Dr Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ahmad Ramzi mengancam untuk mendatangkan kematian kepada ketiga-tiga Adun berkenaan.

Dia turut didakwa memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Dato’ Wan Ahamad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim M Bakri Abd Majid kemudiannya memutuskan perbicaraan seterusnya ditunda pada 6 September.