Halaman

07 August 2011

84,000 bubur lambuk percuma di Masjid Putih sepanjang Ramadan

Oleh FAUZI MOHD



Dato' Seri Haji Ahmad Said mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena Ramadan di Masjid Abidin (Masjid Putih).

Bubur lambuk Masjid Abidin sememangnya dikenali di kalangan warga bandar raya Kuala Terengganu yang pasti tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya setiap kali ketibaan Ramadan.

Masjid yang lebih dikenali sebagai Masjid Putih itu menjadi tumpuan bermula pukul tiga petang bagi mendapatkan bubur lambuk yang diagihkan secara percuma.

Sejak beberapa tahun lalu, program tajaan kerajaan negeri itu dilaksanakan secara bergotong-royong bagi memeriahkan suasana bulan Ramadan serta merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Meskipun ia boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai atau bazar Ramadan dengan harga RM2 sebungkus, namun bubur lambuk Masjid Putih tetap menjadi pilihan ramai.

Bagi Alias Mahmud, 53, yang mengetuai program masakan itu berkata, dengan 20 orang kakitangan sambilan, sebanyak 280 periuk bubur lambuk akan disediakan sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, bagi menyediakan 10 periuk bubur lambuk sehari, ramuan seperti beras, isi ikan selayang, rempah-ratus dan sayur mula dimasak seawal pukul 9 pagi di perkarangan masjid berkenaan secara serentak.

Setiap periuk katanya, 10 kilogram beras akan ditanak selama kira-kira sejam sebelum dimasukkan bahan yang lain seperti lima kilogram isi ikan selayang serta pelbagai jenis sayur termasuklah bayam, serai dan pucuk paku.

"Setiap hari, kami mesti sediakan kira-kira 3,000 bungkus bubur lambur dan sepanjang bulan ini, hampir 84,000 bungkus akan diagihkan secara percuma," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Alias, dua minggu sebelum bermulanya Ramadan, pihaknya telah menempah pelbagai jenis sayur dan daun kayu untuk tujuan itu kerana ramuan seperti daun kesom, kemanging dan pucuk paku sukar didapati dalam kuantiti yang banyak.

"Walaupun terpaksa berebut, semua bahan mentah diperolehi dari tempat berdekatan. Sebelum sahur, kita dah tunggu di pasar untuk dapatkan 80 kilogram ikan selayang.

"Ramuan seperti ikan selayang dan daun kayu yang menjadikan bubur itu sedap atau sebaliknya dan keistimewaan bubur lambuk Terengganu terletak pada bahan sampingannya iaitu budu dan pucuk paku," ujarnya.

Selain itu katanya, untuk rasa yang berbeza, pihaknya turut menambah daging tetel atau daging bercampur lemak sebagai bahan asas untuk membuatkan ia lebih berperisa.

Katanya, mereka yang datang sanggup beratur panjang kerana rasa dan aroma keasliannya yang membuatkan orang ramai tertarik untuk menikmati bubur yang menjadi resipi tradisi turun temurun.

"Walaupun kerja tersebut memenatkan apatah lagi ia dilakukan setiap hari di bulan Ramadan, namun sumbangan yang diberikan kepada orang ramai lebih bererti," ujarnya.