Halaman

19 August 2011

6,000 pesara ATM masih belum jadi ahli

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM cawangan Terengganu serta Kelantan menggesa mana-mana pesara tentera yang masih belum berdaftar sebagai ahli persatuan supaya segera berbuat demikian.

Bekas Pengarahnya, Lt. Kolonel Musa Ali berkata, ia perlu bagi membolehkan hal ehwal kebajikan pesara dan ahli keluarga mereka terjamin selain menjadi platrom mendapatan maklumat terkini berhubung bentuk bantuan yang disediakan selain medan mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin.

Menurutnya, sehingga ini, jumlah pesara tentera yang berdaftar di kedua-dua negeri ini hanya sekitar 4,000 orang sahaja sedangkan masih ada 6,000 lagi pesara yang masih belum daftar menjadi ahli.

"Justeru, saya berharap agar veteran tentera ini segera mendaftarkan diri mereka dengan JHEV atau mana persatuan di peringkat cawangan bagi membolehkan kebajikan mereka terbela.

"Kalau bukan dengan JHEV pun, mereka masih boleh mendaftarkan diri dengan PBTM (Persatuan Bekas Tentera Malaysia) untuk masa depan mereka dan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan hari raya sumbangan Yayasan Veteran ATM kepada anggota veteran ATM Terengganu di Batalion ke-18 Rajimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Seberang Takir di sini, semalam.

Hadir sama Penolong Pengarah 1 Bahagian Kerjaya & Sosioekonomi JHEV, Kementerian Pertahanan (Kementah) Komander Jumali Jabon dan Pengarah JHEV cawangan Kelantan dan Terengganu yang baru dilantik, Mejar Abu Bakar Siddiq Sulaiman.

Pada majlis itu, seramai 64 penerima yang terdiri daripada veteran ATM berusia 72 tahun dan ke atas, balu serta anak-anak yatim menerima bantuan hari raya berjumlah RM500 setiap seorang.

Program tahunan yang diadakan sejak 10 tahun lalu itu bertujuan meringankan beban golongan berkenaan sempena sambutan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Musa berharap orang ramai lebih prihatin terhadap kempen Rayuan Hari Pahlawan yang dijalankan selama tiga bulan bermula 15 Julai yang lalu dan akan berakhir pada 15 Oktober depan.

Katanya, ramai pihak tidak sedar penganjuran kempen itu kerana promosinya tidak dijalankan secara menyeluruh dan hanya terhad di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

"Walaupun kempen ini diadakan setiap tahun, namun tidak ramai yang turut serta dalam menyalurkan sumbang untuk mereka.

"Justeru, saya merayu segenap lapisan masyarakat supaya turut serta bagi membantu kempen ini berjalan dengan baik dan menghargai jasa pejuang negara yang membawa keharmonian negara sehingga kini," katanya.