Halaman

18 August 2011

120 terima duit raya daripada Puspanita

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 120 warga emas dan golongan miskin menerima sumbangan duit raya daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Terengganu (Puspanita) yang disampaikan di Rumah Puspanita, Batu Buruk, Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Sumbangan itu disampaikan oleh isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, To’ Puan Rohani Abdullah yang juga Pengerusi persatuan itu.

Kesemua penerima dari sekitar Daerah Kuala Terengganu itu masing-masing menerima RM100 serta kurma dan bubur lambuk.

Berucap pada majlis itu, To’ Puan Rohani berkata, program tahunan itu bertujuan menceriakan golongan berkenaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, peruntukan tabung Puspanita itu diperoleh menerusi sumbangan dermawan dan pihak swasta yang prihatin terhadap golongan miskin di daerah itu.

"Keprihatinan dan pemberian sumbangan ini selari dengan matlamat pertubuhan untuk membela nasib golongan yang memerlukan di negeri ini.

"Kita berharap duit raya yang diperoleh itu dimanfaatkan untuk persiapan Syawal keluarga mereka,” katanya.

Sebelum majlis pembahagian sumbangan itu, hadirin turut mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan penceramah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal, Ustaz Ahmad Tarmizi Abd. Rahman.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Wanita negeri, Norrani Abdul Rahman.