Halaman

01 July 2011

YIT hantar kursus 1,600 guru Kafa

Oleh: Esah Abdullah



Seramai 1,600 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berjaya mengikuti kursus dalam usaha melahirkan guru Kafa yang berpengetahuan dalam teknik-teknik Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, kursus berkenaan juga bertujuan meningkatkan kefahaman guru tentang dasar kerajaan negeri serta Persekutuan dan isu semasa.

Katanya, lapan siri kursus mewakili lapan Parlimen membabitkan 1,600 guru Kafa tulin iaitu mereka yang mengajar sepenuh masa diberi peluang mengikuti kursus yang berlangsung di Melaka pada 14 April hingga 14 Mei lalu.

Haji Md Kamaru Al-Amin berharap guru Kafa dapat menjalin hubungan baik dengan pihak pentadbiran sekolah terutama guru besar bagi memudahkan pelaksanaan program Kafa di sekolah.



“Terengganu merupakan negeri paling ramai pelajar Kelas Kafa yang mendapat semua A dalam semua subjek,” katanya di majlis Mesyuarat Agung Persatuan Guru Kafa (Perkat) kali Ke-3 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Mesyuarat dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Perkat, Tuan Abdul Razak Tuan Yusof.

Katanya, dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun lalu seramai 3,527 pelajar mencapai keputusan 8A daripada 16,311 calon atau 22 peratus atau meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Terengganu juga mencatat sejarah bila seorang pelajar Kafa, Nurul Nadiah Azhahar daripada Sekolah Kebangsaan Seri Bandi, Kemaman terpilih menerima Anugerah Perdana Peringkat Kebangsaan di atas keputusan paling cemerlang (8A) dalam UPKK iaitu 100 peratus semua subjek Kafa,” katanya.

Katanya, usaha dan kecaknaan guru-guru Kafa dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan bertaqwa serta menjadi umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang amat disanjungi.

Haji Md Kamaru Al-Amin kemudiannya berpesan agar guru Kafa sentiasa berdisiplin, patuh dan laksana arahan jabatan dengan ikhlas serta taat kepada kepimpinan negeri dengan semangat untuk merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.