Halaman

01 July 2011

Usah terlibat dengan himpunan haram Bersih

Oleh: Kamarudin Mat Akib




“Sudah terang lagi bersuluh”. Boleh dikatakan setiap hari berpuluh-puluh laporan polis dibuat oleh mereka yang cintakan keamanan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penganjur yang mahu mengadakan perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya menolak perhimpunan tersebut kerana mereka berpendapat ia tidak wajar sama sekali diadakan walau atas dasar apa pun alasan mereka.

Tambahan pula, laporan terbaru menyebut risikan dan penilaian polis mendedahkan perhimpunan itu boleh mencetuskan huru-hara serta kemusnahan harta benda dan kecederaan. Lebih dasyat lagi, jika perhimpunan itu diteruskan juga, ia akan melibatkan kehilangan nyawa.

Pihak polis menerima maklumat ada pihak tertentu dan anasir asing cuba mengambil kesempatan untuk mengeksploitasikan situasi tersebut bagi mencetuskan anarki di negara ini.

Semua pihak pastinya tahu dan amat faham agenda pihak penganjur, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mengadakan perhimpunan haram itu.

Rakyat kini sedar siapa yang berada di belakang BERSIH yang mahu menimbulkan huru-hara dalam negara dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara menggunakan taktik kotor.

Kita sepatutnya mengambil pedoman apa yang berlaku di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia akibat himpunan haram dan demonstrasi jalanan yang seringkali diadakan di negara berkenaan.

Tindakan segelintir rakyat negara berkenaan mengadakan demonstrasi tidak membawa sebarang erti kepada kestabilan politik negara mereka.

Kita sepatutnya berbangga dengan keadaan negara yang harmoni di mana rakyat berbilang bangsa boleh hidup dalam keadaan aman.

Bagi golongan veteran, mereka pastinya masih dapat mengingati peristiwa berdarah 13 Mei yang membawa huru hara kepada negara di mana rakyat pada masa itu hidup dalam ketakutan.

Justeru, menyedari bahaya yang bakal menimpa rakyat Malaysia dan negeri Terengganu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut memberi amaran supaya penduduk negeri ini tidak terlibat dengan perhimpunan haram tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya kepada penjawat awam, termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab dan memecat mereka, jika terbukti mereka terlibat dengan gerakan yang mengugat keselamatan negara.

Amaran tersebut sepatutnya dipandang berat oleh rakyat Terengganu khususnya penjawat awam kerana ia bukan dibuat bagi menakut-nakutkan mereka.

Menteri Besar mengeluarkan arahan yang agak keras itu atas kesedaran bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan negeri terpikul atas bahu pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selama ini pemimpin BN sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat negara ini dana pada masa yang sama mereka juga bersungguh-sungguh menjaga kestabilan politik negara.

Sebaliknya pemimpin pembangkang hanya pandai mengkritik dan kadangkala mengambil tindakan yang boleh mengganggu-gugat perpaduan dan kestabilan politik negara tanpa mengambil kira kebajikan rakyat.

Itulah beza antara pemimpin BN dan parti pembangkang.