Halaman

29 July 2011

Peruntukan RM72 juta pertingkatkan mutu kesihatan rakyat Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM72 juta bagi tempoh empat tahun bermula 2007 lalu bagi memastikan rakyat negeri ini menikmati mutu perkhidmatan kesihatan terbaik dan setaraf dengan negeri maju yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata peruntukan yang disediakan itu menerusi Tabung Dana Khas itu bertujuan bagi meningkat dan membangunkan taraf kesihatan seluruh rakyat Terengganu.

“Tabung Dana Khas ini dibahagikan kepada dua iaitu bagi tujuan menaiktaraf perkhidmatan perubatan dengan peruntukan sebanyak RM62 juta dan juga untuk kebajikan sosial perubatan sebanyak RM10 juta,” katanya kepada Teganukita.
Dr A Rahman berkata, bagi tujuan menaik taraf perkhidmatan perubatan, pelbagai peralatan canggih dan terkini disediakan untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia kepada rakyat.

Antara peralatan yang dibeli termasuk 20 unit ambulans bernilai kira-kira RM 3.2 juta, mesin Tomografi Berkomputer Multislice 64 Slice (MSCT) (RM5.2 juta), Mesin `echocardiography’ (RM1 juta) dan peralatan untuk perkhidmatan reproduktif bagi Program Bayi Tabung Uji yang berharga kira-kira RM500,000.00.

“Sehingga Disember 2010, semua peruntukan yang disediakan itu telah habis dibelanjakan,” katanya.

Manakala bagi tujuan kebajikan sosial perubatan pula, peruntukan sebanyak RM 10 juta ini dikhaskan untuk membantu pesakit yang tidak berkemampuan dalam membiayai rawatan termasuk pembelian peralatan seperti kaki palsu, mesin `oxygen concentrator’, `implant’, lampin pakai buang, bekalan susu khas dan sebagainya.

Menurut beliau, sehingga Disember 2010, seramai 3,165 pesakit mendapat manfaat daripada bantuan yang diperuntukkan berjumlah RM8.6 juta, iaitu 82% sudah pun dibelanjakan.

Katanya, peruntukan menerusi Tabung Dana Khas ini hampir keseluruhan sudah digunakan bagi membantu golongan yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada kerajaan.