Halaman

28 July 2011

Penerapan nilai agama menjadi teras pembentukan sahsiah anak-anak

Oleh; Esah Abdullah



Penerapan nilai-nilai agama pada peringkat awal menjadi teras utama dalam aspek pendidikan anak-anak dan mampu membesar dalam suasana penuh ketertiban dan hormatkan ibu bapa serta orang sekeliling.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Agama negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata peranan ibu bapa penting dalam membentuk sahsiah generasi hari ini.

“Kerajaan hanya membantu dari segi kewangan tetapi dalam soal memberi kasih sayang ibu bapa harus main peranan,” katanya di majlis Anugerah Keluarga Mithali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit di Gem Beach Resort, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Katanya, hubungan mesra yang ditunjukkan antara ibu bapa dan ahli keluarga yang lain mendorong anak-anak membesar sebagai seorang insan yang menghargai keharmonian dalam masyarakat.

Majlis anjuran bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit memberi anugerah tiga kategori iaitu Keluarga Mithali Terbilang, Ibu Tunggal Terbilang dan Bapa Tunggal DUN Batu Rakit (anugerah khas).

Hajah Wan Hindun Yusof, 68, dari Kampung Padang Polis menerima Anugerah Ibu Tunggal Terbilang di atas kejayaan mendidik enam anaknya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Manakala seorang nelayan, Encik Che Tom Abdullah, 75 menerima anugerah Keluarga Mithali Terbilang dan Encik Daud Husein, 66, dari Kampung Maras menerima anugerah Bapa Tunggal DUN Batu Rakit (Anugerah Khas).

Anugerah ibu tunggal dan keluarga mithali menerima wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan manakala bapa tunggal (khas) menerima RM700 beserta sijil penghargaan. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YB Haji Khazan.