Halaman

31 July 2011

Lima atlet ke Olimpik terima elaun khas

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek

Lima atlet negara yang mengesahkan penyertaan di Sukan Olimpik London 2012 menerima elaun bulanan khas di bawah Skim Insentif Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata mereka yang menyertai acara individu layak menerima RM2,000 berbanding RM1,600 sebelum ini.

Manakala mereka yang menyertai acara berkumpulan akan menerima sebanyak RM1,600 berbanding RM1,000 sebelum ini.
"Mereka akan menerima elauan bulanan itu dari tarikh kelayakan mereka menyertai Sukan Olimpik sehingga sukan itu diadakan," katanya selepas Majlis Penyampaian Skim Insentif Sukan kepada pasukan memanah negara di tapak acara Karnival Emping Dadong 2011 di Kampung Dadong, Kemaman, kelmarin.

Dalam perkembangan itu, trio memanah kebangsaan yang dianggotai Chen Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan seorang anak Terengganu, Khairul Anuar Mohamad muncul sebagai kumpulan pertama atlet Malaysia yang layak ke London selepas meraih tempat kesembilan acara berpasukan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali pada 8 Julai lalu.

Selain itu, dua penerjun, Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas yang turut menempah tiket ke London selepas melepasi tahap kelayakan turut layak menerima elaun berkenaan.

Dato’ Seri Ahmad Shabery berkata kenaikan elaun bulanan itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil yang dipengerusikan beliau pada Mac lalu.