Halaman

27 July 2011

Empat tonggak Terengganu Maju 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memperkenalkan empat tonggak bagi merealisasikan Terengganu Maju 2020 iaitu Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan, Program Transformasi Kerajaan, Program Tranformasi Ekonomi dan Hala Tuju Negeri Terengganu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, berkata pelbagai program dilaksanakan dalam agenda `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ antaranya pembasmian kemiskinan, perumahan rakyat dan projek agropolitan serta bantuan untuk pelajar-pelajar sekolah.

“Kerajaan negeri juga menyahut saranan Perdana Menteri melalui Program Transformasi Kerajaan dengan melaksanakan beberapa projek dan program penambahbaikan dalam struktur pentadbiran. Antaranya perkhidmatan kaunter, pendaftaran dan pembangunan sistem tanah,” katanya ketika berucap mewakili Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah sempena perasmian program Taklimat Pembangunan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Selain itu, Dato’ Wan Ahamad berkata, Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009 hingga 2013 merupakan visi Kerajaan Terengganu bagi mencapai Negeri Maju Tahun 2020 dengan misi `Merancang dan melaksanakan pembangunan negeri yang menyeluruh bagi kesejahteraan rakyat dengan berteraskan agenda merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’.

Katanya, Program Tranformasi Ekonomi merupakan agenda yang amat penting dalam pembangunan Negeri Terengganu.

“Pelbagai program telah dirancang dan telah dilaksanakan bagi mencapai Negeri Maju Tahun 2020. Antara projek atau program mega adalah seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mana telah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri.

“Selain itu, antara projek lain yang dilaksanakan adalah seperti Zon Industri Akuakultur, Projek Jelapang Padi, Empangan Paya Peda dan sebagainya,” katanya.

Malah, dalam tonggak keempat iaitu Hala Tuju Negeri Terengganu, kerajaan negeri mengenalpasti beberapa projek yang mampu memberi faedah kepada rakyat termasuk Projek Ladang Gemilang, Kuala Terengganu City Centre, Bandar Baru Bukit Besar, Bandar Baru Kijal, Pembangunan Tasik Kenyir dan Pendidikan.

Menurutnya, pendidikan menjadi agenda pembangunan modal insan yang penting di dalam hala tuju ini dan kejayaan Terengganu dalam aspek pendidikan tidak boleh dipertikaikan lagi, selain terkenal sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Dalam pada itu, beliau berkata NGO tidak asing lagi bagi Kerajaan Terengganu dan berperanan penting dalam pembangunan negeri.

"Badan (NGO) ini boleh dikategorikan sebagai sebuah institusi yang sah dan diperakui peranannya terutama dalam pembangunan keseluruhan negeri. Berdasarkan pengalaman negara maju, peranan dan sumbangan NGO dalam konteks pembangunan amat penting dan perlu dipikul secara bersepadu dan bersama-sama," katanya.