Halaman

29 July 2011

Orang ramai diminta amal gaya hidup sihat

Oleh; Esah Abdullah


“Kita perlu meluangkan masa untuk beriadah disamping dapat mengurangkan tekanan kerja juga mampu meningkatkan kesihatan badan seseorang,” - Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda

Orang ramai disaran agar memaksimumkan segala kemudahan rekreasi yang ada di Taman Awam Batu Buruk serta mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan bersama.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, dengan menjalani aktiviti riadah bersama ahli keluarga atau sahabat handai dapat mengerat ikatan silatulrahim.



“Kita perlu meluangkan masa untuk beriadah disamping dapat mengurangkan tekanan kerja juga mampu meningkatkan kesihatan badan seseorang,” katanya ketika berucap merasmikan program Hari Cakna Kelab Riadah dan Rekreasi Taman Awam Batu Buruk (Kertab), Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Kertab, Dato’ Haji Hashim Mamat serta lebih 200 ahli Kertab yang berdaftar.

Katanya, jika semua rakyat di negeri ini sentiasa mengambil berat serta menjaga kesihatan masing-masing, kerajaan akan dapat menjimatkan kos perubatan yang diperuntukkan setiap tahun.

Dato’ Haji Wan Ahamad berkata, kadar gejala sosial dapat dikurangkan jika orang ramai bersama menyahut seruan kerajaan dan Kertab agar menggunakan masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

“Kerajaan sediakan banyak kemudahan dan kawasan rekreasi untuk disertai oleh semua golongan masyarakat, contohnya di Batu Buruk ini, ada trek berjalan kaki dan sebagainya,” katanya.

Pada program berkenaan, turut diadakan acara larian santai sejauh 2.5 kilometer yang disertai 150 ahli Kertab bersama keluarga serta ceramah kesihatan dan cabutan bertuah.



Kertab menyasarkan 300 keahlian menjelang akhir tahun dan turut merangka beberapa program untuk ahli-ahli termasuk mengadakan aktiviti mingguan, bulanan dan tahunan dalam usaha membentuk masyarakat sihat, cergas dan bebas dari ganguan penyakit.